KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, pada Jumaat bahawa tiada dendam terhadap pihak yang merancang dan melakukan ketidakadilan terhadapnya, sehingga beliau dituduh melakukan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib, 71, berkata, ini kerana, pihak terbabit akan bertanggungjawab atas pembohongan, pengkhianatan dan pencabulan undang-undang di akhirat kelak.
Iklan
Iklan
Semasa prosiding bela diri atas empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama, Najib menegaskan, seteru politiknya dipenuhi dendam dan mengeksploitasi sistem yang mereka kawal terhadap individu yang tidak mampu mempertahankan diri.
"Pada mereka yang mengkritik saya ketika menjawat jawatan Perdana Menteri atas alasan, kononnya memperjuang hak asasi dan reformasi institusi, adakah ini Malaysia yang anda impikan?
"Saya seorang lelaki yang tua dan lemah sehingga terpaksa hadir ke mahkamah meskipun dengan berkerusi roda dan disorong oleh orang lain," katanya ketika membacakan pernyataan pembelaan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan).
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah hampir RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Prosiding bersambung 6 Januari tahun depan.