JENGKA - Kenaikan harga buat sawit ketika ini tidak menyebabkan peneroka di Felda Jengka 24 di sini rambang mata sebaliknya memilih untuk melakukan perbelanjaan berhemah dan membuat simpanan sewajarnya.
Difahamkan, harga bagi buah tandan segar (BTS) bermula Januari hingga Oktober tahun ini adalah sekitar RM800 hingga RM900 bagi satu tan metrik dan kini sudah mencecah lebih RM1,000.
Ketua Peneroka, Razak Daud, 64 berkata, rata-rata peneroka di rancangan tersebut meraih lebih RM5,000 sebulan setakat ini.
Menurutnya, situasi itu memberikan kelegaan buat dan dapat membantu mereka berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat.
"Kenaikan ini tentunya memberikan kelegaan buat peneroka dan kita berharap harga ini terus stabil untuk tahun depan.
"Namun saya ingin menasihatkan peneroka supaya tidak boros, melakukan perbelanjaan berhemah dan ada simpanan kerana situasi harga ini tidak menentu, bergantung pada pasaran selain digalakkan untuk bersedekah," katanya.
Bagi Ishak A Ghani, 70, situasi tersebut memberikan kelegaan buat peneroka sepertinya.
Meraih kira-kira RM6,500 sebulan, kenaikan pendapatan yang diperoleh dianggarkan kira-kira 50 peratus berbanding sebelum ini.
"Memang kita bersyukur dan saya tetap memilih untuk berjimat cermat, tidak boros dan membuat simpanan sebagai persediaan khususnya ketika waktu kecemasan dan musim perayaan nanti.
"Selain itu, kita boleh bersedekah dan sebagai iman masjid di sini nampak peningkatan sumbangan menerusi jumlah yang diperolehi pada tabung yang ada," katanya mula memasuki rancangan itu pada 1984.
Penerokawati, Rugayah Said, 58, yang juga Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Jengka 24, berkata, ia terpulang kepada masing-masing untuk menguruskan pendapatan dan perbelanjaan setiap keluarganya.
"Alhamdullillah...walaupun sudah ada lebihan pendapatan, kena berjimat cermat kerana ada masa turun naik.
"Bukan masanya untuk boros dengan keadaan zaman sekarang, kos hidup meningkat, kena buat perbelanjaan berhemah," ujarnya.
Seorang lagi penerokawati, Mariah Mohamad, 60, turut memilih membuat lebih banyak simpanan untuk berdepan sebarang situasi memerlukan pada masa akan datang.
"Harga naik bukan akan terus kekal jadi kena bersiap-sedia juga selain boleh gunakan untuk menghadapi raya nanti," ujar ibu kepada enam anak dan memiliki lima cucu.