SHAH ALAM - Budaya memberi dan menerima habuan telah menjadi salah satu cara untuk ‘mempercepatkan’ sesuatu proses serta faktor utama berlakunya gejala rasuah dalam kalangan penguat kuasa.
Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, perlakuan tersebut sudah menjadi kebiasaan dan dianggap bukan kesalahan serius oleh sesetengah penguat kuasa yang bertugas.
"Ia sudah terang-terangan mempunyai unsur rasuah, kemudian ditambah lagi dengan teknologi terkini yang menyebabkan proses berlaku rasuah menjadi lebih licik dan sukar untuk dikesan oleh pihak atasan.
"Bukan itu sahaja, ada juga kes-kes individu berprofil tinggi atau berpengarah yang turut terlepas daripada tindakan undang-undang dan telah mencetuskan persepsi wujudnya pilih kasih atau imuniti politik,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan hampir 500 pegawai penguat kuasa dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan terbabit rasuah sejak Januari 2020 hingga September 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dalam tempoh berkenaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 8,067 maklumat membabitkan agensi penguat kuasa yang meliputi pelbagai kesalahan.
Dalam pada itu, Zainal Adnan berkata, pihak kerajaan perlu memberi lebih perhatian kepada sektor penguatkuasaan dalam membendung isu berkenaan kerana ia adalah asas untuk mengekang rasuah di mana-mana sektor yang lain.
"Ia boleh membawa risiko besar kerana sektor penguatkuasaan adalah tulang belakang dalam usaha menerapkan tatakelola yang baik disetiap sektor lain.
"Jika tidak dibendung, individu yang diberi kuasa menguatkuasakan undang-undang akan menyalahgunakan untuk kepentingan sendiri dan rakyat akan hilang kepercayaan kepada kerajaan serta undang-undang,” ujarnya.
Tambah beliau, hukuman yang dikenakan perlu lebih konsisten dan mempunyai kesan besar kepada pelaku rasuah serta pihak yang terbabit dengan jenayah tersebut.