Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang berkurangan, Perak kekal malam ini

Iklan

KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Johor dan Pahang bertambah baik malam ini dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sedikit berkurangan manakala jumlah mangsa di Perak kekal.

Di JOHOR, jumlah mangsa di Segamat menurun kepada 40 orang daripada 12 keluarga dan masih berlindung di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak setakat 8 malam ini berbanding 85 orang daripada 26 keluarga pada 4 petang tadi.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan hari ini memaklumkan penurunan adalah disebabkan penutupan sebuah PPS iaitu Dewan Komuniti Kampung Tasek yang sebelum ini menempatkan 45 mangsa daripada 14 keluarga.

Beliau juga berkata Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat masih mencatatkan bacaan di paras amaran iaitu 8.82 meter yang melebihi paras normal 7.30 meter.

Iklan

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir turut merekodkan penurunan kepada 41 orang dan ditempatkan di tiga PPS malam ini berbanding 58 petang tadi di empat PPS susulan penutupan sebuah PPS iaitu Masjid Kampung di Bera.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, seramai 30 orang daripada lapan keluarga masih berlindung di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh dan Balai Raya Kampung Seberang Guai di Bera manakala 11 orang daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian di Maran.

Iklan

Semakan di portal publicinfobanjir.water.gov.com mendapati Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Kuala Sungai Chini di Pekan merekodkan trend menaik dengan bacaan air 19.25 meter dan 15.05 meter yang melepasi paras bahaya.

Sementara itu di PERAK, Sekretariat JPBN dalam kenyataan malam ini memaklumkan jumlah mangsa banjir di Manjung kekal 186 orang daripada 57 keluarga dan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Beruas.

Sementara itu, Sungai Perak di Kuala Kenderong, Hulu Perak dan Sungai Mengkuang di Kampung Sungai Kuning, Larut Matang dan Selama masing-masing mencatatkan bacaan paras air 111.95 meter dan 20.14 meter iaitu melebihi tahap bahaya. - Bernama