SEREMBAN - Ketika ramai yang merungut susahnya hidup dalam keadaan ekonomi sekarang, bapa kepada dua anak ini pula sanggup melakukan tiga pekerjaan demi menyara keluarga.
Bagi Muhammad Harith Roduan, 30, biarlah dia bersusah-susah sekarang daripada terus mengeluh soal kehidupan yang perlu dilalui.
Bermula jam 11 pagi hingga 5 petang, lelaki itu bekerja sebagai penghantar makanan dan sebaik selesai tugasan itu, dia membuka gerai menjual air kelapa atau mengambil upah membeli barang pelanggan.
Selepas waktu maghrib kira-kira jam 8 malam, dia memainkan peranan sebagai seorang mekanik pula, membaiki motosikal pelanggan di rumahnya atau di mana-mana lokasi sehingga jam 3 pagi.
Menurut Muhammad Harith, dia memilih bekerja sebagai penghantar makanan sejak dua tahun lalu selepas berhenti sebagai pemandu lori.
"Sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu lori, tetapi terpaksa berhenti selepas syarikat alami masalah.
"Disebabkan susah cari kerja, saya pilih jadi penghantar makanan. Tapi pendapatan tak menentu, jadi saya kena fikir melakukan dua atau tiga pekerjaan demi menyara keluarga," katanya kepada Sinar Harian.
Dia yang berkahwin pada usia 24 tahun berkata, biasanya waktu tidurnya antara tiga hingga empat jam sahaja.
Bagaimanapun ujarnya, bagi memastikan ada waktunya bersama keluarga, dia akan melapangkan hari Ahad.
"Penat, memanglah penat. Tapi bagi saya pada usia sekarang, selagi ada jalan untuk saya cari duit dan kumpul duit, saya akan buat.
"Macam kerja baiki motosikal ini, saya tak tetapkan masa. Kalau ada yang hubungi minta bantuan, saya akan pergi walaupun pada jam 3 pagi," katanya.
Muhammad Harith berkata, dia bersyukur kerana setakat ini tidak pernah menghadapi sebarang masalah kesihatan yang serius disebabkan penat bekerja.
Pada masa sama dia juga lega kerana mempunyai isteri yang sangat memahami dan tidak pernah merungut disebabkan dirinya yang sibuk mencari rezeki.
"Cuma emak lah yang bising kerana risau saya sakit disebabkan sibuk bekerja. Tapi saya selalu mohon doanya.
"Saya juga beritahu dengan emak, selagi ada daya, saya akan cari duit. Lagi pun dalam keadaan sekarang, semuanya memerlukan duit," katanya.
Disebabkan itu, Muhammad Harith akan mudah hilang semangat sekiranya dia jatuh sakit kerana menyedari pendapatannya akan berkurang.
Katanya lagi, kegigihannya mencari rezeki bukan hanya disebabkan perlu menyara keluarga tetapi sebagai persediaan sekiranya berdepan keadaan yang tidak diduga.
"Semestinya untuk sara keluarga itu adalah keutamaan, tetapi saya juga perlu ada tabungan untuk kecemasan.
"Sebab itu bagi saya golongan muda ini, jangan buang masa dan memilih soal kerja. Percayalah rezeki itu luas, terpulang kepada kesungguhan kita saja," katanya yang telah membuat tiga pekerjaan sejak berusia 18 tahun lagi.