Sednaya 'rumah penyembelihan manusia'

Iklan
Pusat tahanan tersebut dikerumuni ahli keluarga tahanan yang menanti pembebasan insan tersayang masing-masing.

DAMSYIK - Riyad Avlar pernah meringkuk di penjara selama 20 tahun termasuk sedekad di Sednaya yang menjadi 'pusat penganiayaan' kerajaan Presiden Syria digulingkan, Bashar al-Assad terhadap tahanan.

"Saya amat berharap untuk melihat Assad diheret ke muka pengadilan pada satu hari nanti,” kata Avlar.

Iklan
Iklan

Pada 2017, beberapa bulan selepas dibebaskan, beliau mengasaskan Persatuan Tahanan dan Orang Hilang Penjara Sednaya (ADMSP) yang menyokong mereka yang dipenjarakan kerana berani bangkit menentang pemerintahan autoritarian Assad.

Pasukan Pertahanan Awam Syria atau Helmet Putih turut terlibat usaha menyelamat tahanan di penjara itu.

"Kami tidak mahu membalas dendam. Kami hanya mahukan keadilan,” katanya di ibu pejabat pertubuhan itu di Gaziantep, tenggara Ankara.

Sebahagian mayat yang ditemui di penjara Sednaya dibawa ke rumah mayat Hospital Al-Mujtahid untuk proses pengecaman.

Iklan

Avlar bersama saudara senasib dengannya bertindak mengumpulkan bukti dan keterangan saksi tentang kezaliman sebenar yang berlaku di sebalik tirai besi tersebut yang pernah digelar pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International sebagai 'rumah penyembelihan manusia' berdasarkan laporan pada 2017.

Ribuan banduan sebahagian besarnya tahanan politik ditempatkan di 'penjara gelap' di utara Damsyik itu dan ada yang sudah menjadi penghuni pusat tahanan mengerikan itu sejak 1980-an.

Amnesty pernah mendakwa pihak berkuasa Syria melakukan 'pembunuhan senyap-senyap' ke atas banduan.

Iklan

Pada Ahad lalu, lebih 4,000 banduan dibebaskan pasukan Helmet Putih bersama puak pemberontak dipimpin Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang berjaya menggulingkan Assad.

Gambar keadaan sebahagian tahanan dalam keadaan menyayat hati termasuk cacat anggota badan dan tubuh kurus kering yang menyayat hati turut menjadi tular di media sosial.

"Saya amat gembira melihat mereka kini bebas. Tetapi, keadaan sel penjara tersebut amat meruntun jiwa. Saya boleh rasakan trauma dahsyat dihadapi golongan itu,” kata Avlar yang kembali mengimbau detik hitam ketika beliau ditahan sewaktu masih menuntut di Damsyik pada 1996.

Moaz Merheb, 51, yang meringkuk selama 18 tahun di Penjara Sednaya memeluk erat ahli keluarganya sejurus dibebaskan.

Penahanan tersebut dibuat berhubung sepucuk surat dihantar kepada saudaranya yang menyentuh isu pelanggaran hak asasi manusia di penjara yang ketika itu di bawah era pentadbiran Hafez al-Assad.

Sewaktu pembebasan tahanan yang menjadi mangsa kezaliman Assad, ribuan ahli keluarga turut bergegas ke kemudahan itu dengan harapan untuk mencari insan tersayang yang sudah terpisah sejak sekian lama.

Penyiasat meninjau 'lubang rahsia' dipercayai menuju ke bahagian bawah tanah.

ADMSP percaya lebih 30,000 individu telah dihukum mati atau meninggal dunia akibat diseksa, dibiarkan mati kebuluran atau tidak diberikan rawatan antara 2011 dan 2018 ketika perang saudara di Syria sedang memuncak.

"Mayat mangsa kekejaman Assad dikebumikan di mana-mana bukan hanya di Sednaya. Ada banyak 'Sednaya' yang tersembunyi di bawah kaki kita,” ujar Yasmine Shabib, 37, yang masih terus mencari bapa dan abangnya yang ditahan pada 2013.

Rejim Assad jelas melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap tahanan di kompleks tersebut.

Amnesty menerusi laporannya menganggarkan antara 5,000 dan 13,000 dihukum di luar bidang kehakiman di Sednaya antara September 2011 dan Disember 2015.

Keadaan di dalam sel yang menempatkan tahanan.