Harimau Malaya sedia hadapi segala kemungkinan di Bangkok

Iklan
Pau Marti

PENGENDALI skuad bola sepak negara, Pau Marti Vicente mengakui skuad Harimau Malaya berdepan cabaran getir dan bersedia menghadapi segala kemungkinan apabila menentang juara bertahan Thailand pada aksi Piala ASEAN di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Beliau yakin terdapat pemain lain yang mampu mengisi posisi berkenaan mengikut strategi telah dirancang biarpun kehilangan beberapa tonggak utama.

Iklan
Iklan

"Kita kehilangan beberapa pemain penting, tetapi pasukan ini bukan hanya melibatkan mereka, sebaliknya 26 pemain secara keseluruhan. Beraksi dalam kejohanan rasmi dan menentang pasukan yang kuat adalah satu motivasi besar buat kami," katanya pada sidang media praperlawanan di Bangkok.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol itu mengakui bahawa tidak banyak yang boleh diubah memandangkan masa persiapan yang terhad, namun menegaskan pemain bersedia memberikan sepenuh jiwa di atas padang.

Pau Marti ketika sidang media pra perlawanan menentang Thailand. Foto Facebook FAM

Iklan

Harimau Malaya agak tempang apabila beberapa pemain utama Sabah FC seperti Dominic Tan, Stuart Wilkin, Darren Lok dan Daniel Ting terpaksa pulang bagi membantu pasukan mereka dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang Kuching City FC pada Ahad ini.

Keadaan bertambah buruk apabila penyerang dan penjaring gol pertama menentang Timor Leste, Syafiq Ahmad, turut disahkan tidak dapat beraksi akibat kecederaan buku lali.

Iklan

Selepas bertemu Gajah Perang, Harimau Malaya akan melayan kunjungan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Disember ini.

Harimau Malaya mendahului Kumpulan A dengan empat mata selepas kemenangan 3-2 ke atas Timor Leste dan keputusan seri 2-2 menentang Kemboja.

Thailand dan Singapura masing-masing mengumpul tiga mata selepas satu perlawanan manakala Kemboja memiliki satu mata daripada dua perlawanan.

Timor Leste pula berada di kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.