KUANTAN - Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap bekas pelakon dan peragawati terkenal, Zahnita Wilson dilakukan berikutan terdapat laporan berkaitan dadah membabitkan wanita itu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ujian itu bukan untuk mendapatkan khidmat pengiring polis seperti yang didakwa.
Menurutnya, membuat ujian air kencing dan mendapatkan perkhidmatan polis pengiring merupakan dua perkara yang berbeza.
"Perkara ini perlu diperjelaskan. Ujian urin dibuat bukan disebabkan dia minta bantuan polis untuk mengiring bagi melaksanakan perintah interim hak penjagaan anak sebaliknya ada laporan dibuat terhadapnya berkait dadah pada hari yang sama.
"Polis perlu melakukan ujian air kencing ke atasnya bagi mengesahkan aduan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas operasi pemotongan bekalan elektrik premis perjudian di sekitar daerah ini pada Sabtu.
Wan Mohd. Zahari berkata, pihak polis memberi bantuan pengiring bagi tujuan keselamatan dan mengelak berlaku pergaduhan.
"Dia datang ke balai untuk bantuan iringan keselamatan dan pada masa tersebut juga sudah ada laporan ke atasnya," katanya.
Sebelum ini Zahnita mendakwa diminta menjalani ujian saringan air kencing bagi mendapatkan khidmat polis pengiring untuk menjemput dua anak di rumah suaminya.
Terdahulu, Zahnita Wilson meluahkan rasa lega selepas berjaya memperoleh perintah sementara hak penjagaan anak-anaknya daripada suaminya, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor.
Keputusan yang diumumkan mahkamah itu memberi seribu satu kegembiraan buat Zahnita, atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussien Wilson, apabila hampir dua minggu tidak tinggal sebumbung dengan tiga anaknya.