Jualan Rahmah mudahkan mangsa banjir beli barang

Iklan
Orang ramai mengambil peluang membeli barangan di Jualan Rahmah Madani.

KUALA NERUS - Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Taman Desa Tanjung Damai di sini dapat membantu penduduk setempat yang terkesan banjir dalam mendapatkan barangan keperluan asas mencukupi pada harga berpatutan.

Rata-rata penduduk yang terkesan banjir meluahkan rasa syukur kerana jualan tersebut memudahkan urusan mereka untuk mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah daripada pasaran.

Iklan
Iklan

Pesara tentera, Rozita Wan Muda, 51, berkata, dia tidak perlu pergi ke tempat yang jauh semata-mata untuk membeli barangan keperluan memandangkan terpaksa menguruskan urusan lain termasuk membersihkan kediamannya yang terkesan banjir.

Rozita

"Jualan ini banyak membantu, tak perlu pergi beli barang jauh-jauh malah harga dijual pula murah.

Iklan

"Saya juga ada urusan lain perlu diurus dan tak habis lagi kemas rumah akibat dilanda banjir. Jadi apabila diadakan jualan seperti ini berhampiran rumah sememangnya sangat memudahkan urusan kami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jualan Rahmah Madani di Taman Desa Tanjung Damai di sini pada Sabtu.

Iklan

Pada 5 Disember lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan harga subsidi 10 hingga 30 peratus barangan keperluan harian menerusi PJRM yang akan diadakan di kawasan terjejas banjir di seluruh negara terutama Kelantan dan Terengganu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali juga berkata, pihaknya akan memastikan kesiapsiagaan penghantaran bekalan barangan keperluan dari luar kawasan dan negeri yang terlibat banjir.

Muhammad Amir

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Muhammad Amir Asyraf, 30, berkata, penduduk juga berpeluang membeli barangan dapur lebih murah sekali gus meringankan beban dari segi kewangan susulan banyak barang dalam kediaman mengalami kerosakan akibat ditenggelami air.

"Jualan seperti ini banyak membantu mangsa terkesan banjir sebab banyak barangan rosak.

"Jualan ini meringankan beban penduduk mendapatkan bekalan barangan asas pada harga yang murah," ujarnya.

Subarjo

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Tanjung Damai, Subarjo Merehojono, 55, berkata, program jualan rahmah itu membantu penduduk setempat yang terkesan banjir baru-baru ini dalam mendapatkan barangan keperluan yang sukar diperoleh di pasar raya seperti ayam, daging, beras dan telur pada harga yang murah.

"Dianggarkan di kawasan perumahan ini mempunyai 1,200 rumah maka sudah tentu memudahkan urusan mereka mendapatkan barang keperluan asas lain.

"Terima kasih kepada kerajaan terutama KPDN yang telah menganjurkan program seperti ini di kawasan yang terjejas akibat bencana banjir," jelasnya.