SHAH ALAM - Hujan Meteor Geminids akan mencapai maksimum dengan kadar 120 meteor sejam atau dua meteor seminit pada jam 9 malam Sabtu hingga awal pagi Ahad.
Planetarium Negara dalam satu kenyataan berkata, fenomena hujan meteor itu boleh dilihat di kawasan gelap dan jauh dari pencemaran cahaya.
"Kami menjangkakan maksimum fenomena berkenaan bakal berlaku jam 9 malam pada Sabtu sehingga awal pagi Ahad.
"Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena Hujan Meteor Geminids pada waktu malam dari 4 hingga 20 Disember 2024," katanya menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebook pada Sabtu.
Tambah kenyataan itu, pusat pancaran meteor-meteor tersebut datangnya dari buruj Gemini yang terletak di langit sebelah Utara.
"Walau bagaimanapun, ketika pencerapan, kenampakan meteor bergantung kepada keadaan cuaca semasa," ujarnya.
Sebelum ini, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menjelaskan fenomena berkenaan merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Gemini tetapi kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah.
Jelasnya, fenomena Hujan Meteor Geminids berlaku apabila bumi beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit asteroid 3200 Phaethon.
"Asteroid 3200 Phaeton ini pada asalnya diberi nama 1983 TB dan nombor 1983 itu merujuk kepada tahun ia ditemui oleh Simon Green dan John Davis melalui imej yang berjaya dirakam oleh Infrared Astronomical Satellite (IRAS) pada 11 Oktober 1983.
"Manakala nama 3200 Phaeton pula diberikan kepada asteroid tersebut pada tahun 1985," ujarnya.
Dalam muat naik yang sama, MYSA turut memberikan beberapa panduan buat orang ramai yang ingin mencerap Hujan Meteor Geminids.
Ulasnya, orang awam dinasihatkan untuk memastikan pencerapan dilakukan di kawasan yang lapang dan tiada halangan antara pencerap dan langit.
"Cuba dapatkan permandangan langit yang luas. Jauhi persekitaran yang bercahaya. Kawasan lebih gelap (tiada gangguan cahaya seperti lampu jalan raya) adalah yang terbaik.
"Selain itu, perlu sesuaikan mata dengan tahap kegelapan selama 15 hingga 20 minit. Tidak perlu fokus ke arah buruj Gemini sahaja untuk melihat hujan meteor ini kerana ia boleh muncul dari pelbagai arah dan pada bila-bila masa," katanya.