Kongres Nasional 2024 tetap berlangsung di Johor tahun depan

Iklan
Fahmi (dua dari kiri) ketika sesi lawatan ke Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian di Pontian, pada Sabtu.

PONTIAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap akan melaksanakan Kongres Nasional 2024 di Johor selepas kongres yang sepatutnya berlangsung pada Disember ditangguhkan susulan banjir melanda beberapa negeri.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, kongres berkenaan dijangka akan berlangsung selepas Monsun Timur Laut berakhir atau selewatnya sebelum suku pertama tahun depan.

Iklan
Iklan

"Kita faham untuk mengadakan kongres ketika ini tidak sesuai kerana ramai yang terkesan dengan bencana banjir.

"Namun PKR tetap akan laksanakan juga kongres di Johor cuma tarikhnya akan ditentukan selepas Monsun Timur Laut. Mungkin pada suku pertama tahun depan selewatnya ia akan diadakan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian di sini, pada Sabtu.

Sebelum itu, Kongres Nasional PKR 2024 dijadualkan berlangsung pada 14 dan 15 Disember di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, manakala Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita ditetapkan sehari sebelum itu di lokasi berbeza.

Iklan

Pada 30 November lalu, PKR memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional 2024 ekoran banjir di beberapa negeri ketika ini.

Fahmi dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat parti.

Pada masa sama, MPP sudah memutuskan bahawa satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan parti akan tetap diadakan pada 15 Disember ini.

Selain Kelantan, turut terkesan bencana itu,Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Johor, Melaka, Perak dan Selangor.