Bedah, beku dan awet perbuatan sakiti jenazah, hukum haram kecuali terdesak

Iklan
Hukum syarak menetapkan proses pembedahan, pembekuan dan pengawetan adalah haram di sisi agama Islam kecuali jika terdapat keperluan yang mendesak kerana perbuatan itu menyakiti jenazah. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Hukum syarak menetapkan proses pembedahan, pembekuan dan pengawetan mayat adalah haram di sisi agama Islam kecuali jika terdapat keperluan yang mendesak kerana perbuatan itu menyakiti jenazah.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, perbuatan menyakiti jenazah dikira sebagai suatu bentuk penganiayaan dan amat menyalahi hukum syarak kecuali ada sebab darurat tertentu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika terdapat keperluan mendesak maka ia harus dilakukan dengan penuh berhati-hati mengikut keperluan dan berlandaskan prosedur ditetapkan oleh pihak berautoriti.

"Sebagai contoh, penangguhan tersebut menyebabkan berlakunya perubahan pada tubuh jenazah, maka hukum mempercepatkan pengurusan jenazah tersebut menjadi wajib.

Iklan

"Selain itu pengurusan mestilah dilakukan secara tertutup dan menjaga aib jenazah serta haram menyiarkannya secara terbuka," katanya menerusi laman Facebook pada Sabtu.

Kenyataan itu dibuat bagi membalas pertanyaan orang ramai berhubung isu pembekuan bayi di hospital swasta yang tular di media sosial dan menimbulkan pelbagai kekeliruan dalam masyarakat.

Iklan

Tambah kenyataan itu, Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyatakan bahawa hadis riwayat Abu Hurairah RA menyarankan supaya pengurusan jenazah dapat disegerakan kerana terdapat hikmah sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW.

Jelasnya, bahkan menurut para ulama mazhab al-Syafi’i menyegerakan pengurusan jenazah merangkumi kesemua tatacara pengurusan bermula daripada proses pemandian, solat hinggalah ke pengebumian jenazah merupakan perkara yang sunat.

"Ulama mazhab al-Syafi’i tidak membenarkan melewatkan pengurusan jenazah melainkan untuk menunggu wali atau ahli keluarga yang terdekat selagi mana tidak mengubah keadaan jenazah.

"Selain itu, jika kelewatan itu disebabkan suatu maslahah tertentu, maka ia dibenarkan.

"Oleh itu, dalam melaksanakan proses pengurusan jenazah, ia mestilah dilakukan dalam keadaan penuh cermat dan berhati-hati supaya tidak menyakiti jenazah. Hal ini kerana menyakiti jenazah sama seperti menyakiti orang yang hidup," ujarnya.