TEMERLOH - Penternak kerugian kira-kira RM300,000 selepas 40 sangkar ikan dan rumah rakit di Kampung Tanjung Batu di sini dihanyutkan arus deras Sungai Pahang pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, hampir 80,000 ikan pelbagai jenis antaranya patin, lampam, baung, kerai dan kelah dihanyutkan kira-kira 10 kilometer.
Salah seorang pemilik sangkar, Mohd Safi Derahman, 34 berkata, kejadian itu pertama kali dihadapi mereka sejak mengusahakan sangkar tersebut pada 2009.
Menurutnya, ketika kejadian terdapat tiga individu di kawasan sangkar itu dan keadaan kelam kabut sebelum beberapa tali yang diikat terputus dan sangkar dihanyutkan.
"Kejadian berlaku sekelip mata, mengejutkan dan terpaksa biarkan sebelum mengejar sangkar yang hanyut.
"Ini kejadian kali pertama berlaku sangkar hanyut dan arus sungai memang deras ketika itu walaupun dalam keadaan cuaca baik," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.
Jelasnya, ikan-ikan yang terdapat dalam sangkar dihanyutkan itu kebanyakannya sudah matang dan sedia untuk dijual.
Ujar Mohd Safi, sangkar-sangkar itu kini berada di Kampung Lebak selepas berjaya diselamatkan oleh beberapa pengusaha lain di Kampung Pangsenam dan Kampung Lebak Seberang.
"Kami memang berterima kasih dan sangat menghargai bantuan berharga yang diberikan mereka, sangat bersyukur," jelasnya mengakui sedih dengan kejadian tersebut.
Tambahnya, buat masa ini, usaha mengalihkan ikan-ikan tersebut sedang giat dilakukan.
"Sangkar-sangkar ini pula akan dialihkan selepas air, arus surut dan akan mengambil lebih banyak langkah keselamatan serta berjaga-jaga untuk mengelakkan kejadian sama berulang selepas ini," katanya.