Jalur Gemilang terbalik pada jersi Zii Jia kecuaian kritikal - Fahmi

Iklan

PONTIAN - [DIKEMAS KINI] Kontroversi Jalur Gemilang yang dipasang terbalik pada jersi pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia ketika beraksi dalam Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) di China pada Rabu lalu dianggap sebagai kesilapan ketara.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya mengambil maklum permintaan maaf oleh penaja kepada pemain perseorangan profesional negara itu, Victor namun kesilapan tersebut disifatkan sebagai kecuaian yang kritikal.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak agar memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan masyarakat tidak keterlaluan memberikan komen di media sosial.

"Apa pun, kita perlu sentiasa bersederhana dan biar pihak berkuasa ambil tindakan. Saya mengambil maklum di pihak Lee Zii Jia (penaja) telah ada permohonan maaf.

Iklan

"Pada saya itu satu kesilapan ketara, baju yang akan dipakai oleh pemain yang cukup dikenali dan mewakili negara membawa bendera Malaysia. Saya anggap itu satu kecuaian yang kritikal. Kita ambil maklum," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian di sini pada Sabtu.

Iklan

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan, pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung komen menyentuh sensitiviti tentang kontroversi tersebut.

"Jika ada siasatan kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

"Saya nasihatkan dalam kes bukan hanya seperti ini, mana-mana kes sekalipun pengguna internet, media sosial berpada-pada meletakkan komen, kadang kala komen boleh disalah erti dan kita tidak mahu ada satu keadaan dia mengapi-apikan.

"Biarlah kita ambil tindakan bersesuaian, kita nak situasi seperti ini tidak berulang itu yang kita harapkan," katanya.

Sebelum itu, kemenangan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam aksi pembukaan Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024, pada Rabu dibayangi kontroversi.

Kontroversi hadir selepas jersi dipakai Zii Jia memaparkan Jalur Gemilang secara terbalik semasa memimpin permainan pada pertengahan set kedua ketika menentang pemain Taiwan, Chou Tien-chen di Hangzhou, China.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kemudiannya dilaporkan berkata, pihaknya akan merangka satu kod baharu berkaitan etika pemakaian atlet termasuklah membabitkan penggunaan Jalur Gemilang pada pakaian mereka.

Beliau berkata, langkah itu bagi mengelakkan insiden sama berulang membabitkan penggunaan Jalur Gemilang termasuk yang terbaharu membabitkan Zii Jia.