KUANTAN - Hasrat seorang pekerja kilang untuk memiliki kereta musnah apabila ditipu seorang individu menyamar ejen urusan jual beli kereta hingga kerugian hampir RM18,000 pada Jumaat.
Mangsa berusia 22 tahun dari Kuala Terengganu itu mendakwa, bayaran dibuat secara tunai menggunakan wang hasil tabungan kepada suspek untuk membeli kereta jenis Perodua Myvi.
Malangnya, kereta impiannya itu gagal dibawa pulang apabila wang bayaran tidak dibayar kepada pihak kedai sebaliknya lesap dilarikan suspek.
Menceritakan kejadian malang menimpanya, mangsa berkata, dia berhasrat membeli kereta dan memuat naik hasratnya untuk mencari kereta Perodua Myvi melalui Facebook pada Rabu lalu.
"Saya mendapat maklum balas daripada suspek bernama Nizam menawarkan sebuah kereta jenis itu yang dijual di sebuah kedai kereta terpakai di Jalan Beserah di sini.
"Selepas berbincang melalui aplikasi Messenger dan WhatsApp, saya bersetuju untuk datang melihat kereta itu di Kuantan pada Jumaat," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Mangsa menjelaskan, selepas tiba di Kuantan kira-kira jam 11.30 pagi hari berkenaan, dia dibawa ke kedai kereta berkenaan sebelum ditunjukkan kereta yang ditawarkan pada harga RM17,500.
"Selepas berpuas hati dengan kereta itu, suspek meminta wang pendahuluan RM3,500 dan dibayar terus ketika itu.
"Suspek kemudiannya mengikuti saya ke bank dan diserahkan baki bayaran sebelum keluar makan," katanya.
Mangsa berkata, dia menyedari telah ditipu setelah kembali ke kedai itu untuk mengambil kereta.
"Saya terkejut apabila salah seorang juru jual di situ memberitahu tiada sebarang bayaran dibuat untuk kereta tersebut.
"Malah suspek juga bukan pekerja di situ sebaliknya menyamar sebagai ejen atau broker," katanya.
Menurutnya lagi, suspek gagal dihubungi selepas itu.
"Menyedari ditipu, saya tampil membuat laporan polis pada hari yang sama," katanya.
Kejadian menimpa mangsa sebelum itu dimuat naik seorang ahli keluarga mangsa di Facebook meminta bantuan natizen untuk mengesan suspek.
Bersama hantaran itu turut disertakan video rakaman dipercayai dari CCTV kedai memaparkan suspek yang turut berada di kedai kereta terbabit.