BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menghampiri gelaran juara Jelajah Dunia Akhir (WTF) Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas melangkah ke final edisi 2024 di Hangzhou, China, malam ini.
Dalam aksi separuh akhir di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, Tang Jie-Ee Wei membuktikan kehebatan mereka sebagai beregu campuran terbaik negara apabila mengetepikan pasangan senior Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, 21-15, 21-12, dalam 42 minit.
Ia merupakan kemenangan kedua mereka ke atas Soon Huat-Shevon dalam WTF 2024, selepas menewaskan gandingan itu 14-21, 21-10, 21-14 dalam pertembungan Kumpulan B, Rabu lepas.
Keputusan hari ini menyaksikan pasangan Malaysia itu berpeluang untuk bermain dalam final terbesar karier mereka selepas memenangi kejohanan Super 500 Terbuka Korea, September lepas.
Tang Jie-Ee Wei menempah slot di separuh akhir selepas menjuarai Kumpulan B manakala Soon Huat-Shevon muncul naib johan kumpulan.
Dua beregu terbaik daripada setiap kumpulan mara ke separuh akhir kejohanan penutup musim itu yang menawarkan hadiah kemenangan berjumlah USD 2.5 juta (RM11.1 juta).
Dalam final esok, Tang Jie-Ee Wei akan berdepan pemenang pertembungan beregu China iaitu antara pasangan nombor dua dunia Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dengan pemenang emas Olimpik Paris Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.
Mengulas perlawanan hari ini, Tang Jie mengaku beliau melakukan beberapa kesilapan ketika menyerang dan berharap dapat mengurangkan kesilapan sama dalam pusingan akhir esok.
Tang Jie berkata kedua-dua pasangan China itu mempunyai gaya permainan yang agresif dan menekankan kepentingan mengatur strategi lebih baik untuk dinobatkan sebagai johan.
"Kami hanya perlu kekal tenang dan fokus pada perlawanan esok," katanya dalam temu ramah dengan BWF selepas perlawanan. - Bernama