KUALA PILAH - Kuih sopang antara juadah 'orang lama' yang terkenal dalam masyarakat di Negeri Sembilan merupakan hidangan wajib setiap kali menjelang Ramadan.
Diperbuat daripada tepung pulut, santan, gula anau dan kelapa parut muda ia antara kuih tradisi Adat Lingkungan Istana Besar Seri Menanti.
Bagi memastikan kuih tradisional itu tidak pupus ditelan zaman, seorang peniaga, Zainuri Husin, 45, mula menjual kuih tersebut sejak tahun 2010 selepas mendapati ia mempunyai peminat tersendiri.
"Kemahiran menghasilkan hidangan ini saya pelajari daripada Allahyarham ibu mentua saya yang merupakan orang Kuala Pilah. Penyediaannya tidaklah remeh namun tidak ramai yang menjual pemanis mulut ini pada hari biasa.
"Biasanya kita akan jumpa kuih ini waktu bulan puasa atau majlis keramaian tertentu. Ramai juga yang menyamakan kuih ini seperti kuih badak berendam berikutan rupa bentuknya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di gerainya di Kampung Godang, Teraci pada Sabtu.
Ujarnya, kuih sopang berbentuk seakan karipap, kuah santan pekat dan ia berbeza dengan badak berendam yang berbentuk bulat.
Zainuri menjual kuih sopang dengan putu piring setiap hari Jumaat hingga Ahad selain jualan produk salai.
Dalam pada itu, suri rumah, Aminah Arshad, 55 ,dari Selangor berkata, dia merupakan peminat kuih tradisional itu kerana rasanya yang sedap dan berlemak.
"Tidak semua orang pandai buat kuih ini, ada masanya kulitnya terlalu tebal isinya pula kurang. Jadi kalau hendak beli kena tanya banyak tempat, kalau saya balik kampung boleh singgah beli di gerai tepi jalan selepas Ulu Bendul," katanya.
Dalam pada itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, selaras dengan usaha memastikan makanan tradisi negeri ini sentiasa dikenali dan dipelihara, kerajaan Negeri Sembilan telah menyediakan pelbagai perancangan menerusi sektor pelancongan sekali gus mempromosikan negeri ini melalui makanan tradisional.
"Setiap daerah mempunyai keunikan antaranya bihun itik dan rendang maman di Gemencheh; apam (Johol) dan satay tulang (Jelebu).
"Kita mengalu-alukan semua pihak bukan sahaja agensi kerajaan tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut serta dalam mempromosikan masakan dan kuih tradisional negeri ini," katanya.