Jenazah bayi beku: KKM tunggu dapatan siasatan CKAPS, dijangka minggu depan

Iklan
Dr Dzulkefly (empat, kiri) melakukan simbolik perasmian persidangan '1st Malaysia Community First Responder' pada Sabtu. Foto Bernama

GEORGE TOWN - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menunggu dapatan laporan siasatan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) mengenai dakwaan sebuah hospital swasta menahan jenazah bayi kerana ibu bapa gagal menjelaskan bil hospital lebih awal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dapatan laporan itu dijangka diperoleh selewat-lewatnya pada Mesyuarat Pasca Kabinet minggu depan, yang merupakan mesyuarat terakhir tahun ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, KKM sentiasa memantau pengawasan fasiliti hospital swasta di negara ini yang tertakluk kepada Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

"Bagaimanapun kes ini agak unik dari segi latar belakang dan sebagainya, jadi kita tunggu dapatan dan siasatan yang betul untuk kita berlaku adil, tentunya kita simpati dengan keluarga malang ini.

Iklan

"Namun kita akan terus mengadakan pemantauan kami di bawah tanggungjawab CKAPS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Responden Pertama Komuniti Malaysia yang pertama kali diadakan, di sini pada Sabtu.

Baru-baru ini tular di media sosial berkaitan tindakan sebuah hospital swasta di Selangor yang dikatakan menahan mayat bayi lelaki selama 16 hari di dalam peti sejuk mayat kerana bapanya tidak membayar bil.

Iklan

Rabu lepas hospital swasta terlibat menafikan dakwaan itu, sebaliknya menjelaskan bahawa pihaknya telah memberi kebenaran mengebumikan jenazah bayi itu sebelum bayaran bil hospital dibuat.

Sebelum itu, mengulas mengenai laporan media yang mendakwa kekurangan tenaga kerja perubatan di Hospital Seri Manjung, Perak, Dr Dzulkefly berkata, beliau masih menunggu laporan daripada semua pihak yang terlibat, di dalam dan luar KKM. - Bernama