LENGGONG - Kerajaan Perak mengambil maklum kebimbangan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar berkaitan aktiviti pembukaan tanah di kawasan hutan Kledang Saiong dekat Chepor di Ipoh.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kawasan tersebut dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan sebarang maklum balas lanjut perlu merujuk kepada anak syarikat kerajaan negeri itu.
Menurutnya, seperti semua sedia maklum, sebarang kawasan tanah yang ingin dibangunkan ketika ini tidak boleh dibuat tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa termasuklah kawasan berkenaan.
"Itu tanah PKNPk. Jadi saya nak jawab pun tak berapa tepat, kena dapat maklumat daripada PKNPk sebab setiap pembangunan tanah sekarang ini kena ada KM (Kebenaran Merancang). Kalau tiada KM, tak boleh bangunkan kawasan tersebut.
"Tapi kita ambil kiralah kebimbangan orang ramai itu. Apa yang pasti memang kena dapatkan KM dan bukan mudah, sangat ketat," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Jelajah Sejahtera Desaku@Kota Tampan dan Kenduri Rakyat di Dataran Tasik Raban di sini pada Sabtu.
Hadir sama Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Saarani berkata, sebarang pembangunan di situ dilakukan secara berhati-hati mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Menurutnya, sebarang permohonan mesti dihantar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mendapatkan beberapa kelulusan dan pematuhan operasi seperti Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
"Kena pastikan pelan itu ada mitigasi dan yang penting, ada zon penampan perlu dipatuhi dalam pembukaan Hutan Kledang Saoing.
"EIA kena patuhi untuk dapatkan KM itu dan juga semua benda berkaitan termasuk jadual penebangan pokok.," katanya.
Pada 12 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan aktiviti pembukaan tanah di kawasan hutan Kledang Saiong dekat Chepor di sini mencetuskan kebimbangan kalangan komuniti setempat memberi kesan banjir buruk dan tanah runtuh.
Kawasan penerokaan yang dimulakan sekitar empat tahun itu dikatakan semakin luas dan telah hampir dengan kawasan penempatan penduduk terutama Taman Chepor Indah dan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Batu 10 dengan jarak kurang 100 meter.
Kebimbangan itu disuarakan Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin yang memaklumkan daripada pemantauan dilakukan, aktiviti pembukaan hutan melibatkan dua konsesi iaitu blok utama masing-masing di bahagian selatan dan utara Chepor.