353 premis Kemas rosak akibat banjir di lapan negeri

Iklan
Mohd Hanafiah (kanan) melihat kesan banjir semasa melawat Tabika Kemas Alor Gunung pada Sabtu. Foto Bernama

ALOR SETAR - Sebanyak 353 premis Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) rosak akibat banjir yang melanda lapan negeri sejak November lepas, membabitkan kerugian hampir RM6 juta.

Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, premis yang terjejas melibatkan 339 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska), 11 premis pendidikan kemahiran dan tiga Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Kelantan negeri paling teruk terjejas selain Terengganu, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Sarawak.

Sebanyak 353 premis Kemas rosak akibat banjir yang melanda lapan negeri sejak November lalu yang membabitkan kerugian hampir RM6 juta. Foto Bernama

"Kejadian banjir ini sedikit sebanyak menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP), membabitkan seramai 7,673 kanak-kanak tabika dan taska serta 855 kakitangan Kemas di negeri terlibat terutamanya Kelantan dengan kerosakan yang agak serius berbanding negeri lain.

Iklan

"Kita telah menggerakkan Skuad Ihsan Madanidi seluruh negeri untuk melaksanakan misi bantuan banjir, termasuk kerja-kerja pembersihan premis dan kediaman yang terjejas. Keutamaan kami ialah memastikan operasi premis Kemas dapat disambung seperti biasa dengan segera," katanya selepas melawat Tabika Kemas Alor Gunung yang terjejas banjir, di sini pada Sabtu.

Mohd Hanafiah berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah juga sudah mengarahkan Kemas membuat permohonan bagi mendapatkan peruntukan baik pulih premis yang terbabit.

Iklan

Kemas katanya, sudah mengangkat permohonan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Muhd Khair Razman yang telah memberi maklum balas bahawa pada dasarnya, peruntukan yang dipohon diluluskan dan akan disalurkan sedikit masa lagi.

"Cuma, kalau peruntukan yang dapat itu tidak mencapai kepada jumlah yang diperlukan, sekurang-kurangnya kita dapat pastikan ia boleh digunakan semula untuk anak-anak dan kita utamakan faktor keselamatan dan kebersihan.

"Isu keselamatan itulah yang paling penting, kita tak nak nanti anak-anak masuk bangunan itu tidak selamat untuk mereka, selain itu kita juga sedang meneliti bangunan yang terjejas sama ada selamat atau tidak untuk digunakan," katanya.

Sementara itu, Mohd Hanafiah berkata, pihaknya bersama KKDW sedang berusaha memastikan agar program pratahfiz yang dilaksanakan di tabika Kemas ketika ini dapat diteruskan kepada para pelajar meskipun mereka sudah melangkah ke sekolah kebangsaan.

Beliau berkata, antara langkah yang difikirkan termasuklah untuk membenarkan anak-anak itu dihantar ke tabika berkenaan pada waktu petang bagi menyambung kelas tahfiz yang sudah mereka ikuti.

"Setakat ini perkembangannya sangat menggalakkan dengan kalangan anak-anak yang mengikuti program terbabit menunjukkan pencapaian memberangsangkan dalam menghafal al-Quran.

"Kita mahu mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan yang mungkin boleh membenarkan penggunaan kelas pada sebelah petang, bagi meneruskan program itu," katanya.

Setakat ini, terdapat lebih 4,000 tabika Kemas di seluruh negara yang menawarkan program berkenaan dan jumlah itu dijangka meningkat lebih sekali ganda pada tahun depan. - Bernama