Gempar buaya muncul di sawah padi

Iklan
Tangkap layar rakaman video buaya di Kampung Nechang, Tumpat.

TUMPAT - Seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter muncul di Kampung Nechang di sini, pada Jumaat selepas lebih dua minggu daerah itu dilanda banjir teruk pada gelombang pertama Monsun Timur Laut.

Kakitangan awam, Mohd Azam Jusoh, 35, berkata, buaya terbabit dilihat timbul di kawasan sawah padi kampung berkenaan kira-kira jam 6 petang.

Iklan
Iklan

"Saya kebetulan berada di kawasan sekitar dan mendapat maklumat daripada kumpulan WhatApps ada buaya di bendang Kampung Nechang.

"Saya bersama anak dan isteri pergi ke kawasan itu dan dapat melihat seekor buaya yang sekejap-sekejap timbul di permukaan air dalam sawah terbabit,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan
Orang ramai yang mengerumuni lokasi kemunculan seekor buaya di Tumpat.

Menurut Mohd Azam, dia dan sepupunya juga sempat merakam video buaya dipercayai spesis air tawar dari kawasan Sungai Pangkalan Nangka terbabit.

Dia mengakui kejadian itu pertama kali berlaku di kampung berkenaan yang sebelum ini tidak pernah kecoh dengan kehadiran buaya seperti yang berlaku pada Jumaat terbabit.

Iklan

"Haiwan tersebut mungkin hanyut semasa arus deras banjir gelombang pertama baru-baru ini.

"Saya diberitahu kawan yang tinggal di kampung itu, buaya tersebut sudah berenang ke arah sungai yang lebih besar di Sungai Nechang pada jam 1 pagi tadi,” katanya.

Katanya, pihak bomba turut bergegas di lokasi kejadian pada petang Jumaat terbabit.

Mohd Azam turut memuat naik rakaman buaya berkenaan di TikTok sejak Jumaat dan meraih 1,347 tanda suka dan 161 perkongsian.