MOSCOW - Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia untuk memindahkan rakyatnya yang dikuarantin di dalam kapal persiaran Diamond Princess, di pelabuhan Yokohama, Jepun ekoran wabak Covid-19, memetik media AS lapor agensi berita Sputnik.
Pengarah Bahagian Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) di unit Persediaan dan Jangkitan Baharu Henry Walke berkata, kira-kira 380 warga AS yang berada di atas kapal persiaran itu akan dipindahkan melalui dua penerbangan, dijangka tiba di AS Ahad pagi.
Sebuah pasukan khas CDC, akan menilai kesihatan penumpang, mereka yang mempunyai gejala demam, batuk dan simptom lain yang berkaitan tidak dibenarkan menaiki penerbangan itu.
Penduduk AS yang dipindahkan mungkin akan ditempatkan di pangkalan tentera udara Travis berhampiran Sacramento, California, untuk menjalani rawatan dan ujian lanjut.
Sebahagian mereka mungkin dikuarantin untuk tempoh sehingga 14 hari. Pangkalan itu menempatkan kira-kira 230 orang yang dibawa pulang dari Wuhan.
Penumpang kapal persiaran Diamond Princess dari Hong Kong itu dikuarantin sebaik berlabuh berhampiran Yokohama sejak 3 Februari selepas mereka didapati positif Covid-19.
Sejumlah 3,711 penumpang dan anak kapal berada di atas kapal itu dan setakat ini 218 orang positif dijangkiti virus tersebut.
Virus itu pertama kali dikesan di Wuhan, Hubei pada akhir Disember sebelum merebak ke lebih 25 negara lain, malah di tanah besar China sahaja sebanyak 1,523 kematian dicatatkan membabitkan 66,492 orang dijangkiti. - Bernama