SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa agar proses siasatan kes sindiket 'counter setting' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilakukan dengan lebih pantas dan telus bagi menyakini rakyat bahawa tiada elemen perlindungan terhadap pelaku jenayah rasuah.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, kewujudan sindiket seperti itu akan mencemarkan nama baik negara dan menjejaskan integriti sistem imigresen.
Menurutnya, perbuatan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga mengancam keselamatan negara dengan membenarkan individu asing masuk tanpa kawalan sewajarnya.
"MCW bersetuju bahawa usaha membanteras sindiket ini memerlukan keberanian untuk menangkap dan mendakwa 'ikan besar'. Selagi dalang utama tidak ditangkap, sindiket ini akan terus mencari cara baharu untuk beroperasi.
"Oleh itu, kami berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk melipatgandakan usaha siasatan sehingga semua individu tidak kira pangkat dibawa ke muka pengadilan.
"Dalam masa sama, MCW mencadangkan pelaksanaan sistem teknologi lebih ketat seperti biometrik dan pengawasan digital yang tidak boleh dimanipulasi. Langkah ini termasuk penggunaan 'real-time monitoring' terhadap pegawai bertugas di kaunter," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa sindiket 'counter setting' masih beroperasi di KLIA walaupun SPRM berkali-kali menegaskan dalang utama sindiket yang membawa masuk warga asing melalui lapangan terbang itu telah ditahan.
Tambah MCW, sepatutnya lebih banyak penglibatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media dan masyarakat untuk meningkatkan tekanan kepada pihak berwajib agar mempercepatkan reformasi di JIM.
Jelasnya, kerjasama antara SPRM, NGO dan masyarakat adalah kunci dalam menangani masalah berkenaan secara menyeluruh.
"MCW juga menegaskan bahawa hukuman lebih berat harus dikenakan terhadap pelaku bersubahat dengan sindiket terbabit termasuk melucutkan jawatan mereka dan hukuman penjara yang setimpal.
"Ini penting untuk memberi mesej tegas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan jenayah rasuah,"ujarnya.