HASRAT pengendali, Wong Tat Meng untuk melihat kemaraan lebih jauh pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 di Hangzhou, China tidak kesampaian akibat kecederaan.
Namun di sebalik itu, Tat Meng mengakui peningkatan prestasi dipamerkan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah tersebut di pentas yang menghimpunkan jagoan dunia berkenaan amat mengagumkannya.
Iklan
Iklan
Malah dia menitipkan pujian semangat juang dipamerkan Zii Jia ketika menentang pemain China, Li Shi Feng dalam aksi Kumpulan A.
"Saya berharap Zii Jia bangkit lebih kuat selepas di sini dia mempamerkan peningkatan luar biasa dari segi teknik, mentaliti, keyakinan dan ketabahan.
"Sememangnya pemain badminton perlu melalui pelbagai cabaran dan pengalaman ini akan menguatkan semangat juang dan keyakinan dirinya," kata bekas pemain perseorangan lelaki negara itu.
Tat Meng juga menitipkan terima kasih kepada pemain perseorangan nombor satu negara tersebut kerana memberi peluang kepadanya untuk membuktikan kemampuan sebagai jurulatih.
"Teruskan perjuangan, dan saya percaya anda mampu mencipta lebih banyak kejayaan di masa depan," katanya.