SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Shah Alam membatalkan hasrat membubarkan bahagian tersebut.
Calon Ketua Bahagiannya, Mohamad Fadzil Ahmad berkata, perkara itu diputuskan selepas 75 perwakilan yang hadir pada Sabtu menyatakan sokongan kepadanya untuk terus menerajui bahagian tersebut.
"Tak jadi bubar dan kita akan teruskan perjuangan selepas mendapat sokongan perwakilan.
"Bagaimanapun untuk seterusnya, akan lihat keadaan bergantung keputusan selepas penundaan (persidangan) ini," katanya pada sidang akhbar di Dewan Lavender, Seksyen 7 di sini pada Sabtu.
Sepatutnya persidangan bagi memilih barisan pimpinan baharu sesi 2025-2027 berlangsung pada hari ini namun ditangguhkan melalui surat dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pusat lewat malam Jumaat.
Persidangan semula itu dibuat selepas penangguhan pemilihan pada 2 November lalu selepas berlaku berlaku pertikaian dan keraguan terhadap kiraan 128 perwakilan
Pengumuman pembatalan pada saat akhir itu mengundang rasa kurang senang ahli jawatan kuasa yang telah membuat persiapan.
Justeru persidangan yang berlangsung di Dewan Lavender, Seksyen 7 dikatakan bakal bertukar menjadi majlis pengumuman keluar parti.
Dalam pada itu, Mohamad Fadzil berkata, setakat ini belum dapat dipastikan tarikh baharu persidangan semula itu akan dilakukan.
Beliau berkata, surat pembatalan persidangan dikeluarkan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali lewat malam Jumaat, memberi alasan siasatan lembaga disiplin berhubung kejadian rusuhan pada persidangan 2 November lalu masih berjalan.
"Sepatutnya JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti) atau pusat menyelesaikan siasatan terlebih dahulu sebelum keluar surat bersidang.
"Kami sayangkan parti, kami mohon diadakan pemilihan sah dan tidak memenangkan pihak tertentu dengan cara tidak betul," katanya.