'UMNO utamakan ahli setia' - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid ketika berucap pada Konvensyen BN Kedah di Bedong pada Sabtu.

KUALA MUDA - UMNO menegaskan mereka merupakan parti yang mengutamakan ahli setia berbanding kumpulan yang meninggalkan parti demi kepentingan peribadi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, atas prinsip itu parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan juga tidak seharusnya mengambil ahli dalam kalangan rakan gabungan untuk menyertai parti mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu telah berjaya mewujudkan keserasiaan untuk memimpin negara.

"Kalau ada kepentingan peribadi, kalau ada kepentingan individu 'go to hell' dengan kepentingan peribadi 'go to hell' dengan kepentingan individu. UMNO lebih utamakan orang yang ada kesetiaan daripada orang yang pandai tapi tidak taat setia.

Iklan

"Itu sebabnya di Kuala Lumpur saya dah keluar kenyataan jangan ambil ahli-ahli daripada parti rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan, yang faham, faham lah, tak faham tak apa,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN Kedah di Bedong pada Sabtu.

Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Iklan

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak merujuk ucapan itu kepada mana-mana pihak sama ada individu yang masih hidup atau telah meninggal dunia.

"Tapi ingatlah bahawa ketika kita susah ahli kebanyakan yang membantu UMNO, ketika kita disepak terajang mereka yang akar umbi inilah tetap saat setia dengan UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, dengan kekuatan yang dimiliki parti ketika ini, BN yakin mampu merampas semula Kedah yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) sejak 2020.

"Kita melihat Kedah sebagai ‘swing state’ begitu juga Terengganu dan Perlis, ‘swing’ bermakna boleh berubah kerajaan, kita dalam keadaan ladung jam berada di bawah tetapi ia tidak akan berada di bawah jika dikunci,” katanya.