Piala Malaysia: Terengganu selangkah ke separuh akhir

Iklan
Pemain TFC, Muhammad Safawi Rasid (tiga, kanan) meraikan jaringan gol pertama ketika beraksi menentang NSFC pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Sabtu.

TERENGGANU FC (TFC) membawa bekalan selesa selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, di sini pada Sabtu.

Babak pertama perlawanan menyaksikan skuad kendalian ketua jurulatih Badrul Afzan Razali lebih menguasai permainan dengan mencipta beberapa peluang mencipta jaringan sehingga kapten pasukan, Muhammad Safawi Rasid memecah kebuntuan pada minit ke-19.

Iklan
Iklan

Gol tersebut menyuntik semangat pasukan pelawat untuk terus melancarkan serangan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-33 menerusi situasi pergelutan di dalam kotak penalti, namun penjaga gol tuan rumah, Muhamad Aqil Abdul Razak bertindak cemerlang menghalang bola daripada membolosi gawang.

Memasuki separuh masa kedua, pasukan tuan rumah mempergiatkan usaha dengan melancarkan beberapa percubaan ke arah gawang TFC, namun gagal memanfaatkan peluang untuk menyamakan kedudukan.

Iklan
Pemain TFC, Ismaheel Akinade (tengah) diasak pemain NSFC, Aliyu Audu Abu Bakar pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Sabtu. Foto Bernama

Tekanan terhadap NSFC semakin memuncak apabila pemain import Aliyu Audu Abu Bakar dilayangkan kad merah oleh pengadil, Muhammad Usaid Jamal selepas melakukan kekasaran ke atas Nor Hakim Hassan pada minit ke-78, memaksa pasukan tuan rumah beraksi dengan 10 pemain.

Kesilapan pemain kendalian ketua jurulatih K Nathakumar berterusan apabila Muhamad Aqil menjatuhkan penyerang import lawan, Nelson Bonilla Sanchez di dalam kotak penalti, memberi peluang kepada TFC dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-85.

Iklan

Nelson Bonilla tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila mudah menewaskan Muhammad Aqil untuk membawa bekalan dua gol ke Kuala Terengganu.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 Disember ini. - Bernama