Kadar pencen pesara di bawah SSPA dijangka dimuktamad dalam masa terdekat - KSN

Iklan
Shamsul Azri berucap pada Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-9 KOPROJAYA di Dewan Maksak Putra Presint 14 pada Sabtu. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan dijangka memuktamadkan kadar pencen di bawah Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi golongan pesara dalam masa terdekat, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata, buat masa ini perkara tersebut sedang diperhalusi daripada pelbagai aspek dan ia akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Jumaat depan.

Iklan
Iklan

"Kita tengah perhalusi, minggu hadapan kita akan bawa balik ke Kabinet dan kita akan putuskan," katanya dan menyatakan bahawa kemungkinan akan ada berita baik yang diumumkan kelak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) ke-9 di sini pada Sabtu.

Iklan
Shamsul Azri (tengah) pada Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-9 KOPROJAYA di Dewan Maksak Putra Presint 14 pada Sabtu. Foto Bernama

Dilaporkan kira-kira 900,000 pesara kerajaan masih menunggu penjelasan rasmi mengenai kadar pencen mereka, iaitu sama ada ia akan diselaraskan mengikut skim gaji baharu atau tidak.

Pada 31 Oktober, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pesara kerajaan juga akan menerima manfaat daripada SSPA, apabila pencen yang diterima itu diselaraskan.

Iklan

Beliau berkata, pelarasan itu akan menambah peratusan pencen diterima pesara menerusi persetujuan oleh kerajaan, sekali gus membolehkan kumpulan itu menikmati kenaikan seperti diperoleh penjawat awam yang masih berkhidmat.

Sementara itu ditanya sama ada kerajaan akan memberi peluang kedua (seperti pelanjutan tempoh tandatangan) kepada mereka yang tidak menandatangani opsyen SSPA, Shamsul Azri berkata, ketika ini kerajaan fokus kepada pelaksanaan fasa pertama SSPA itu.

"Sekarang ini kita fokus kepada yang tanda tangan dulu dan kita lihat kepada hasilnya, kita akan tengok kemudian. Kita selesaikan dahulu pasal pelaksanaan fasa pertama ini," katanya.

Dilaporkan hanya 0.13 peratus atau 1,400 orang daripada 1.5 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen SSPA yang tamat pada 30 November.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berpuas hati dengan gerak kerja penjawat awam yang dimobilisasikan ke kawasan terjejas banjir menerusi Skuad Ihsan Madani.

Shamsul Azri berkata, lebih 1,000 penjawat awam daripada pelbagai kementerian telah digerakkan untuk menjalankan kerja pemulihan pasca banjir di beberapa negeri yang terjejas.

"....sangat positif (kerjasama dan gerak kerja penjawat awam). Kita buat banyak kerja amal seperti cuci masjid, sekolah dan klinik. Kita juga ada pasukan kejuruteraan daripada Jabatan Kerja Raya khas untuk periksa pendawaian dan semua hal teknikal di bangunan kerajaan," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan Skuad Ihsan Madani.

Skuad Ihsan Madani merupakan cetusan idea beliau untuk penjawat awam diaturgerakkan bagi membantu meringankan beban mangsa yang terjejas akibat banjir. - Bernama