Mesir, pegawai AS bincang usaha gencatan senjata di Gaza

Iklan
Orang ramai berkumpul di tapak bangunan yang musnah selepas serangan udara Israel di kem pelarian al-Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza pada 13 Disember 2024. Foto Xinhua

KAHERAH - Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi bertemu dengan Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat, Jake Sullivan dan Penyelaras AS untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Brett McGurk di Kaherah pada Sabtu untuk membincangkan usaha mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Pertemuan itu, yang turut dihadiri Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty; Ketua Perisikan Mesir, Hassan Rashad dan Duta AS ke Mesir, Herro Mustafa Garg, memfokuskan perkembangan serantau terkini serta usaha bersama bagi menubuhkan gencatan senjata dan memudah cara pertukaran tahanan di Gaza, menurut laporan Agensi Anadolu yang memetik kenyataan Pejabat Presiden Mesir.

Iklan
Iklan

Sullivan tiba di Kaherah selepas melawat Doha dan Israel awal minggu ini, ketika Mesir, Qatar, dan AS meneruskan usaha perantaraan untuk menyelesaikan krisis di Gaza walaupun berdepan tentangan berterusan daripada Israel.

Presiden Sisi menekankan keperluan segera untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, khususnya menjelang musim sejuk, dan mengulangi penyelesaian dua negara sebagai asas untuk mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah.

Iklan

Perbincangan turut menyentuh mengenai pemeliharaan gencatan senjata yang rapuh di Lubnan sebagai langkah awal ke arah meredakan ketegangan serantau, selain perkembangan terkini di Syria.

Sisi menekankan pentingnya mengekalkan keutuhan wilayah Syria dan memastikan keselamatan rakyatnya di tengah-tengah perubahan yang sedang berlaku di rantau itu.

Iklan

Perbincangan ini berlangsung ketika perubahan politik besar berlaku di Syria, selepas Bashar Assad, yang memimpin Syria selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia selepas kumpulan anti-rejim menguasai Damsyik pada 8 Disember, sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath yang memegang kuasa di Syria sejak 1963.

Dalam perkembangan berasingan, Agensi Anadolu turut melaporkan Kumpulan Hamas pada Sabtu menegaskan komitmennya untuk menamatkan serangan Israel di Gaza, sambil menyerlahkan usaha mereka untuk bertindak balas secara positif terhadap semua inisiatif yang bertujuan menghentikan serangan itu.

Dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-37 penubuhannya, Hamas menekankan keterbukaannya terhadap"inisiatif serius dan tulen untuk menghentikan serangan dan jenayah pendudukan terhadap rakyat kami, sambil teguh mempertahankan hak, prinsip, dan aspirasi rakyat Palestin."

Hamas menegaskan bahawa rakyat Palestin mempunyai"hak mutlak, kemampuan, dan kebebasan untuk menentukan masa depan mereka serta mengatur urusan dalaman secara bebas," sambil menolak"sebarang projek antarabangsa atau Zionis yang bertujuan menentukan masa depan Gaza selaras dengan kepentingan pendudukan."

Sejak 7 Oktober 2023, Israel melancarkan serangan genosid ke atas Gaza yang telah meragut lebih 44,800 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada bulan lepas mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung serangan ke atas Gaza. - Bernama-AA