SANDAKAN - Seorang lelaki sempat menjerit meminta tolong sebelum dibaham buaya dalam kejadian di kawasan setinggan Batu 8, di sini pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, mangsa berusia 28 tahun disambar reptilia itu ketika melalui jambatan kayu di kawasan setinggan tersebut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden K Ramasamy berkata, siasatan mendapati, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan melalui jambatan kayu menuju ke rumah abangnya.
"Mangsa kemudian tiba-tiba telah disambar seekor buaya dan ketika kejadian mangsa sempat menjerit dan meminta tolong.
"Mayat mangsa kemudian ditemui oleh ahli keluarganya kira-kira dua meter dari lokasi kejadian pada jam 9.30 malam hari yang sama dengan kesan gigitan buaya di beberapa bahagian badan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk bedah siasat.
"Kes dikasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.