KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melanjutkan tempoh permohonan tapak bazar Ramadan di bawah seliaannya sehingga 20 Disember ini.
Pihak berkuasa tempatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, ia bagi memberi peluang kepada lebih ramai penjaja yang berkelayakan untuk mengambil bahagian.
"Bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri 2025 juga bakal lebih ceria apabila Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) bersetuju untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama DBKL dalam penganjuran bazar berkenaan.
"Melalui kerjasama dimeterai pada 11 Disember lalu, bazar berkenaan akan diserikan dengan warna korporat BMMB di semua lokasi bazar melalui sumbangan pembekalan kanopi, apron, topi dan kotak pembesar suara serra kod QR untuk penjaja yang membuka akaun BMMB," katanya.
Tambah kenyataan itu, kerjasama strategik itu adalah selari dengan pendekatan 4P 'public, people, private partnership' yang diterapkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohamad Sharif dalam memastikan pengurusan masyarakat secara inklusif.
"Lebih menarik, penjaja yang berjaya mengambil bahagian dalam bazar kali ini akan menikmati pengurangan caj sebanyak RM500 daripada caj asal keseluruhan," katanya lagi.
Kepada pemohon yang layak mereka diminta tidak melepaskan tawaran menarik tersebut untuk bersama-sama memeriahkan suasana sambutan Ramadan dan perayaan Aidilfitri 2025 di samping menjana ekonomi negara.