IPOH - Seramai 80 peniaga kecil di Dataran Ipoh di sini, merayu agar tapak jualan sedia ada dikekalkan dan tidak dipindahkan ke tapak baharu seperti diarahkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Pengerusi Persatuan Carbooth Dataran MBI, Elham Mifzal Ellias, 30, berkata, penempatan semula peniaga ke MBI Terrace dilihat akan memberi kesan kepada pendapatan mereka berikutan keadaan lokasi yang tidak strategik.
Menurutnya, arahan pengosongan lot parkir yang dijadikan sebagai tapak perniagaan sebelum ini perlu dilakukan selewat-lewatnya sebelum 21 Disember ini.
"Kawasan baharu tersebut mempunyai jalan sehala yang menyukarkan pengunjung sekali gus menjejaskan pendapatan kami berbanding lokasi sekarang ini yang mempunyai laluan dua hala dan lebih terbuka.
"Selain itu, hanya 44 peniaga ditempatkan di lokasi baharu manakala selebihnya tercicir dalam pemilihan itu. Kasihan kepada peniaga yang terdiri dalam kalangan suri rumah dan ibu tunggal," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Pada 6 Disember lalu, MBI dalam satu sesi libat urus telah memutuskan supaya penjaja kecil yang berniaga jualan but kereta di dataran berkenaan dipindahkan ke MBI Terrace yang dilihat sebagai lokasi strategik serta tidak menganggu aliran trafik.
Dalam sesi libat urus itu juga, sebahagian penjaja telah melalui proses undian tapak baharu selain menerima surat tawaran penyewaan yang perlu diberi kata putus selewat-lewatnya pada Ahad.
Menurut Elham Mifzal, jualan but kereta yang telah beroperasi sejak 2022 itu berjaya menarik ramai pengunjung termasuk luar negara kerana keunikan jualan barangan, makanan dan minuman.
"Komuniti kami dikenali kerana menjual makanan tular antaranya jagung keju tarik, pasta ceduk, mi segera, vietnam roll, bun susu thailand, panipuri dan pelbagai pencuci mulut lain.
"Pengunjung juga berpeluang meluangkan masa bersama keluarga dan bersantai di Dataran Ipoh sepanjang jualan bermula 8 malam hingga 12 tengah malam," katanya.
Tambah Elham Mifzal, pihaknya sedia akur dengan syarat yang dikenakan sekiranya pihak MBI dapat mengeluarkan lesen atau permit perniagaan dalam usaha untuk mengekalkan tapak sedia ada.
"Komuniti kami akan menjaga kebersihan kawasan dan tidak akan menggunakan khemah serta kekal menjual barangan di but kereta tanpa menganggu laluan pengunjung.
"Masalah kesesakan lalu lintas juga akan diatasi sekiranya melantik pengawal lalu lintas dan jika permit dapat dikeluarkan, ia mengawal kemasukan peniaga baharu selain kami sedia menbayar sewa sewajarnya kepada MBI," ujarnya.
Jelasnya, satu memorandum rayuan terhadap pengekalan tapak jualan but kereta sedia ada telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta kerajaan negeri.
Sementara itu, peniaga, Siti Noor Aliah Zainuddin, 31, berkata, arahan pemindahan ke tapak baharu amat meresahkan.
"Secara purata, pendapatan kasar sekitar RM900 pada hujung minggu berniaga di sini. Dengan arahan baru itu lebih separuh daripada pendapatan yang saya peroleh dijangka akan hilang.
"Malah berdasarkan undian itu, tapak baharu saya terletak antara dua gerai makanan menyebabkan jualan mi segera saya tersepit di tengah-tengah,” katanya.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, diharapkan MBI dapat meneliti semula arahan yang telah dikeluarkan selain mempertimbangkan semula untuk mengekalkan peniaga dataran berkenaan.