LUMUT - Seorang bayi lelaki cukup sifat ditemukan di kawasan semak belakang sebuah surau di Kampung Permatang dekat Sitiawan pada Sabtu.
Tangisan bayi itu didengari oleh seorang ahli jawatankuasa surau yang membersihkan kawasan itu sebelum menghubungi polis pada jam 6.54 petang.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, siasatan mendapati bayi berbalut dengan kain tersebut ditinggalkan dalam semak.
"Mangsa kemudian telah dirujuk ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut.
"Polis kini sedang mengesan ibu bayi tersebut untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Munawara Ahmad di talian 011-1624 0391 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Manjung 05-688 6222 dan talian hotline WhatsApp 014-6828005.