Sultan Selangor sertai Larian KITA sejauh 3km

Iklan
Sultan Selangor (depan tiga dari kanan) sambil diiringi Tengku Permaisuri Norasyikin (tiga dari kiri), Tengku Amir (dua dari kanan) dan Tengku Zafrul (kanan) pada Larian KITA di SMK Bagan Terap di sini pada Ahad.

SUNGAI BESAR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyertai Larian Kebajikan dan Inklusiviti Teras Inspirasi (KITA) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Serap di sini pada Ahad.

Turut berkenan berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Iklan
Iklan

Larian itu turut disertai Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim dan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail.

Baginda yang tiba pada jam 7.30 pagi melepaskan kira-kira 2,500 peserta dalam acara larian berkenaan.

Iklan

Sultan Selangor yang berkain pelikat dengan mengenakan baju jersi dan bertopi jerami kemudiannya berkenan menyertai larian sejauh tiga kilometer bersama rakyat jelata.

Pelbagai pameran dan persembahan diadakan di sepanjang laluan sawah selain pengunjung juga tidak melepaskan peluang merakam gambar bersama Sultan Sharafuddin.

Iklan

Sultan Selangor membuat pelepasan peserta Larian KITA di SMK Bagan Terap pada Ahad.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan, Sultan Selangor bertitah agar program Larian KITA dianjurkan lagi di Sabak Bernam pada masa depan.

Menurut Tengku Zafrul, Sultan Sharafuddin juga berkenan supaya program itu diadakan di semua daerah di negeri ini.

"Tuanku juga bertitah mahu memastikan adanya penglibatan penduduk di kawasan ini dan mahu budaya sihat ini diteruskan kerana ramai yang berminat dengan aktiviti sukan dan riadah," ujarnya.

Kata beliau, program itu membawa objektif memupuk dan mewujud kesedaran mengenai gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

"Selain itu, kita juga dapat mempromosi kawasan pelancongan berpotensi di sini dan seterusnya program ini akan diadakan di Klang," kata beliau.