BACHOK - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki yang lemas di Pantai Kandis di sini pada petang Sabtu ditemukan meninggal dunia pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, jasad Muhd Naufal Arshad Muhd Aiman Hafiz, 8, ditemukan pada jam 11.15 pagi dalam keadaan terlentang di persisir pantai di Kampung Teko Air Merah, Kandis oleh penduduk yang kebetulan bersiar-siar di kawasan itu.
"Mayat dijumpai oleh seorang lelaki sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
"Lokasi mayat ditemukan berada dalam jarak kira-kira enam kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Beliau memberitahu, kematian itu disahkan oleh pihak perubatan manakala pengecaman mayat dilakukan oleh kedua ibu bapa mangsa, Mohd Aiman Hafiz Che Awang, 34, dan Siti Nur Shahidah Muhammad, 33, yang berada di lokasi kejadian.
"Mayat dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk bedah siasat.
"Operasi yang melibatkan pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Maritim Negeri Kelantan secara keseluruhannya tamat pada jam 12.30 tengah hari,” katanya.
Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati pada musim tengkujuh dan meningkatkan pengawasan terutama terhadap kanak-kanak.
Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II Khairul Ariffin Che Ramli berkata, pihaknya mengalami kesukaran menjalankan operasi mencari mangsa kerana keadaan ombak besar.
"Seramai enam anggota Pasukan Penyelamat di Air dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa bersedia pada bila-bila masa di lokasi untuk melakukan selaman apabila ombak reda.
"Pihak kami bagaimanapun tetap meneruskan pencarian di kawasan permukaan sebelum mayat dijumpai di pesisir pantai oleh penduduk kampung,” ujarnya.