JOHOR BAHRU - Sebanyak 6,208 kes buli membabitkan pelajar sekolah direkodkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), setakat Oktober 2024 menerusi sistem Sahsiah Diri Murid (SDM).
Ketua Pengarahnya, Azman Adnan berkata, jumlah itu dilihat menurun berbanding 6,528 kes yang direkodkan tahun lalu dan 3,883 pada tahun sebelumnya.
"Kementerian telah menyediakan beberapa saluran buli, antaranya menerusi sistem pengurusan aduan (Awam Sispaa), KPM, emel, talian telefon dan aplikasi whatsApp serta peti aduan sekolah.
"Kita juga telah mengeluarkan pekeliling dan garis panduan yang berkaitan buli dan gangguan seksual.
"Jadi garis panduan ini adalah garis yang panduan komprehensif tatacara serta tatakelola yang berkaitan dengan bagaimana kita nak terima aduan dan bagaimana kita nak tangani aduan," katanya kepada pemberita.
Azman berkata demikian pada sidang akhbar sempena program Hentikan Salah Laku dan Gangguan Seksual di SMK Mutiara Rini, pada Ahad.
Sementara itu, pihak KPM juga mengukuhkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi membantu pihak sekolah melaksanakan pemantauan secara berkala.
Katanya, pemantauan tersebut juga bakal dilaksanakan di asrama bagi mencegah gejala buli, penderaan, jenayah seksual dan keganasan.
"Pelbagai program antaranya program pembangunan sahsiah diri murid dan kursus Kepimpinan Madani yang bertujuan meningkatkan adab, integriti dan nilai berteraskan kepada konsep 'karamah insaniah' dalam membangunkan karakter serta kepimpinan pelajar turut dijalankan," katanya.