HULU TERENGGANU - Seramai 112 penternak akuakultur dan nelayan di Terengganu menanggung kerugian kira-kira RM2.7 juta apabila kawasan dan hasil ternakan musnah dalam bencana banjir baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, daripada jumlah itu, 85 orang merupakan penternak akuakultur manakala baki seramai 27 lagi adalah golongan nelayan.
"Berdasarkan data yang dikumpul sehingga 13 Disember (Jumaat), seramai 85 penternak akuakultur mencatatkan nilai anggaran kerosakan dan kerugian kira-kira RM1.5 juta dengan keluasan ternakan 9.5 hektar.
"Selain itu, 27 nelayan juga merekodkan nilai kerugian RM1.2 juta apabila harta benda milik mereka terutama alatan tangkapan ikan rosak," katanya di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, katanya, kebanyakan penternak dan nelayan terlibat mengakui terpaksa menanggung kerugian disebabkan bencana banjir yang berlaku di luar jangkaan mereka.
"Saban tahun penduduk di negeri ini berdepan dengan bencana banjir namun kali ini ada di sesetengah tempat ia berlaku di luar jangkaan.
"Kebanyakan mereka yang terjejas berdepan kerosakan seperti sangkar dihanyutkan arus deras, jaring yang dipasang bocor menyebabkan ikan-ikan yang diternak terlepas dan ada juga yang mati," katanya.
Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir di Terengganu susulan ramalan hujan berterusan di peringkat berjaga-jaga oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Sebanyak 18 Kawasan yang terletak dalam radius 5 kilometer (km) di Sungai Telemong dan Sungai Tersat dekat Hulu Terengganu dijangka dilanda banjir bermula 16 hingga 19 Disember 2024.