SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat perbincangan awal berhubung penyertaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Bagaimanapun, beliau yang juga presiden parti tersebut enggan mengulas lanjut berkenaan individu terlibat semasa perbincangan dibuat.
Menurut beliau, pihaknya tidak menggalakkan, namun tidak juga menghalang, malah lebih kepada menghormati keputusan di samping menjaga hubungan baik antara parti.
"Prinsip PKR terbuka. Ada pemimpin kita pernah jadi setiausaha agung Parti Amanah Negara (Amanah), ada pemimpin DAP jadi calon kita, ada juga calon PKR pernah keluar masuk DAP.
"Jadi hubungan dengan semua parti selama ini kita buka ruang, tetapi selalunya berunding dengan baik terlebih dahulu. Macam Tengku Zafrul pun dalam keadaan samalah...
"Kita juga tidak pernah mengajak orang tapi kita bersedia berbincang. Sekarang ada perbincangan awal, tanyalah dia (Tengku Zafrul) berminat ke tak nak masuk PKR,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditemui media selepas Kongres Khas PKR di Dewan Raja Muda Musa, di sini pada Ahad.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, selain desas-desus akan menyertai PKR, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri turut dikaitkan dengan spekulasi bakal menerajui Selangor menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari.
Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada Tengku Zafrul meninggalkan parti terbabit untuk menyertai PKR.