Harimau Malaya berhak dapat keputusan lebih baik - Pau Marti

Iklan
Harimau Malaya terpaksa akur tewas 0-1 kepada Thailand. Foto FAM

PENGENDALI Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengakui pasukannya berhak mendapat keputusan lebih baik di sebalik kekalahan tipis 0-1 kepada Thailand dalam aksi ketiga Kumpulan A Piala ASEAN di Stadium Nasional Rajamangala pada Sabtu.

Menurutnya, pemain telah beraksi dengan baik untuk mengekang jaguh Asia Tenggara itu selain Harimau Malaya berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

Iklan
Iklan

"Saya sangat gembira dan bangga dengan pemain terutama cara kami bermain. Saya rasa kami berhak untuk dapat lebih baik daripada keputusan malam ini.

"Ia minggu yang sukar, tetapi kami tunjukkan semua orang bahawa kami mampu memberikan aksi terbaik dan kami bertahan serta menyerang dengan baik," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Iklan

Malaysia terpaksa akur dengan kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli yang gagal mengeluarkan bola dengan baik daripada kawasan bahaya untuk memberikan peluang kepada Patrik Gustavsson menjaringkan gol kemenangan tuan rumah.

Bagaimanapun, Pau Marti tidak mahu menyalahkan Haziq atas kejadian tersebut selain menegaskan akan terus menyokong penjaga gol berusia 26 tahun itu.

Iklan

"Saya rasa Haziq telah melakukan yang terbaik dan tiada siapa yang lebih merasa kecewa daripada dirinya sendiri kerana kesilapan tersebut.

"Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa atas keputusan hari ini. Kami akan terus menyokongnya dan memastikan dia tidak terlalu sedih atas kesilapan itu dan bangkit kembali," katanya.

Kekalahan itu menyaksikan Harimau Malaya kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan A di belakang Singapura dan Thailand.

Malaysia tidak mempunyai pilihan lain perlu melakar kemenangan dalam aksi terakhir kumpulan berdepan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat untuk mengesahkan tiket ke pusingan separuh akhir.