SEBANYAK 30 tan makanan kering dan pakaian disumbangkan Pasaraya Econsava bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri pantai timur terutama di Kelantan dan Terengganu.
Pengurus Besar, Mas Imran Adam berkata, ia merupakan sumbangan orang ramai dan pasar raya itu dalam bentuk program bakul makanan yang bermula sejak minggu lalu.
"Hasil sumbangan yang diadakan di semua cawangan Econsave di wilayah selatan negara ini berjaya mengumpulkan 20 tan makanan kering dan 10 tan pakaian untuk disumbangkan kepada mangsa banjir.
"Program bakul makanan yang diadakan di semua cawangan Econsave di Melaka, Negeri Sembilan dan negeri ini mendapat sambutan menggalakkan, ramai pelanggan yang berbelanja di pasar raya dalam masa sama menyumbang kepada mangsa banjir.
"Dalam tempoh singkat ini, kita berjaya kumpul 30 tan makanan kering dan pakaian yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000," katanya ketika ditemui di Econsave Senai pada Sabtu.
Dalam pada itu, pihaknya akan memantau perkembangan situasi banjir di negara ini dan bersedia untuk melakukan program tanggungjawab sosial korporat bagi meringankan beban mereka yang terjejas.