JELEBU - Penubuhan Rumah Ngaji Kampung Rambai Baris, Ulu Klawang di sini akan terus memainkan peranannya untuk memperkasakan al-Quran dalam komuniti setempat.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, penubuhan Rumah Ngaji ini bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti amnya Parlimen Jelebu dalam usaha pemantapan kekuatan rohani selain mewujudkan masyarakat baca, faham dan amal al-Quran.
"Ia memberi kemudahan kepada orang kampung untuk belajar al-Quran sekali gus membudayakan ilmu, memahami dan mengamalkan ajaran murni Islam yang terdapat dalam al-Quran.
"Justeru saya berharap ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat kerana lokasinya yang strategik iaitu berada dalam surau secara tidak langsung dapat mengimarahkan lagi surau kampung," katanya yang juga merupakan Exco Kanan Negeri Sembilan selepas merasmikan Rumah Ngaji di Negeri Sembilan ke 60 itu pada Ahad.
Dalam pada itu, Pengerak Rumah Ngaji berkenaan, Dr Hawati Janor berkata, Rumah Ngaji itu telah beroperasi sejak Ogos lalu untuk manfaat masyarakat Islam mempelajari al-Quran secara percuma.
Menurutnya, ia antara Rumah Ngaji di seluruh negara yang ditubuhkan atas inisiatif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) sejak tahun 2013.
"Matlamat Rumah Ngaji termasuklah untuk melahirkan karakter Muslim sejati berasaskan minda dan jiwa al- Quran.
"Kami berharap Rumah Ngaji ini dapat mengukuhkan lagi kesatuan hati dalam usaha melahirkan masyarakat yang mencintai al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai asas dalam proses kemenjadian masyarakat ke arah kecemerlangan hidup dunia dan akhirat," katanya.
Sementara itu, penasihatnya, Suri kedah berkata, sambutan daripada masyarakat setempat begitu menggalakkan dengan tiga sesi pembelajaran al-Quran antara jam 9 pagi hingga 9 malam bermula Isnin hingga Khamis.
"Rumah Ngaji ini memberi pendidikan al-Quran kepada orang ramai agar masyarakat lebih dekat dan cintakan al-Quran di samping menjadikan al-Quran sebagai landasan dalam kehidupan," katanya.