JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut akibat serangan jantung ketika mengundurkan kereta di hadapan sebuah bengkel di Jalan Emas Putih, Skudai di sini, pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Sinfh Mahindar Singh, pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut pada jam 4 petang, Sabtu.
Iklan
Iklan
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Volkswagen Golf yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun, hilang kawalan ketika sedang diundurkan dari tempat letak kereta di hadapan sebuah bengkel.
"Akibatnya, kereta berkenaan terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan di tepi longkang.
"Mangsa tidak cedera, namun berdasarkan bedah siasat yang dilakukan oleh pihak forensik HSA (Hospital Sultanah Aminah), mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami serangan jantung," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diharap dapat tampil dan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Ong Jin Siong di talian 011-16490168 bagi membantu siasatan.