ALOR SETAR - Sebanyak 12,852.18 tan sisa banjir dibersihkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di 45 lokasi bermula 28 November hingga 11 Disember lalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, ia merangkumi 22 kawasan perkhidmatan dan 23 kawasan yang luar dari kawasan perkhidmatan yang terjejas akibat banjir di tujuh negeri baru-baru ini.
Menurutnya, sebanyak 153 unit jentera digunakan dengan bantuan melibatkan pekerja seramai 362 orang.
"Operasi pembersihan untuk tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672 akan dikuatkuasakan melalui SW Corp dan bersama rakan-rakan konsesi.
"Kedah dan Pahang adalah negeri yang terkesan buat masa ini walaupun Kelantan tidak termasuk dalam senarai asal namun kami tetap membantu di kawasan Tumpat dengan menghantar bantuan," katanya pada sidang akhbar pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas turun meninjau pembersihan dan dan pengurusan pasca banjir di Taman Aman, di sini.
Sementara itu di Kedah, dalam operasi yang dijalankan sejak 30 November lalu, sebanyak 730.03 tan sisa banjir dikumpulkan dan dihantar ke tapak pelupusan Jabi, Pokok Sena.
Menurut Aiman Athirah, kekuatan jentera ketika operasi adalah sebanyak 79 buah mini armroll iaitu daripada 61 buah dari syarikat konsesi dan bakinyanya sebanyak 18 adalah daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Banjir yang berlaku pada 26 November lalu menyebabkan pengumpulan lumpur dan longgokan sampah pukal di kawasan kediaman.
"KPKT melalui SWCorp Kedah sudah pun mengambil tindakan segera dengan menggerakkan jentera pembersihan syarikat konsesi dengan membersihkan longkang dan sampah pukal serta dibantu pelbagai pihak," ujarnya.
Tambah beliau, di pusat pemindahan sementara (PPS) di 58 lokasi di seluruh negeri pula, SWCorp mengarahkan syarikat konsesi Environment Idaman Sdn Bhd menempatkan sebanyak 171 unit tong yang merangkumi 71 unit 1,100 liter, 95 unit 240 liter, dua unit 660 liter dan tiga unit Roro dengan frekuensi kutipan secara harian.
"Antara cabaran utama yang dihadapi ketika pembersihan adalah lumpur yang tebal dan jumlah sampah pukal yang banyak," katanya.