PEMAIN boling elit negara, Hafiz Zainuddin dan Gillian Lim berada dalam kelas tersendiri apabila mengungguli kategori lelaki serta wanita bagi cabaran Gen Z pada Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All-Stars di Petaling Jaya sebentar tadi.
Dalam kategori bawah 25 tahun itu (B-25), Hafiz menguasai final 14 pemain dengan aksi cemerlang apabila membuat 2,326 jatuhan pin sepanjang 10 permainan untuk meraih hadiah RM8,000 dalam saingan di Sunway Mega Lanes itu.
Tempat kedua pula menjadi milik Cha Seung Been dari Korea Selatan dengan 2,302 jatuhan pin mengatasi Marc Custodio dari Filipina menerusi perbezaan satu jatuhan pin.
Kemenangan itu menambah lagi koleksi kejayaan atlet berusia 24 tahun itu pada tahun ini selepas meraih gelaran Terbuka Malaysia pada Mei dan lima pingat Kejohanan Asia pada September termasuk emas dalam acara trio.
"Ia adalah pertandingan berkualiti tinggi. Anda boleh lihat semua pesaing dengan corak permainan mereka apabila meraih mata yang tinggi. Pemain remaja turut menunjukkan bahawa mereka juga hebat.
"Saya gembira dengan keputusan ini dan pencapaian yang diraih pada 2024. Saya ingin terus memperbaiki diri tahun depan dan berjuang untuk mendapatkan tempat pada Sukan SEA dan Kejohanan Dunia," ujar Hafiz.
Dalam pada itu, bagi kategori wanita, Gillian mengetuai kejayaan Malaysia apabila melakukan 2,315 jatuhan pin untuk membawa pulang RM5,000.
Dia mengatasi rakan senegara, Anis Hannani Romzi dengan jumlah mata yang tipis menerusi 2,309 jatihan pin, manakala Adania Redzwan pula melengkapkan kejayaan podium Malaysia dengan 2,218 jatuhan pin.
Gelaran tersebut merupakan yang ketiga buat Gillian pada musim 2024 selepas menjuarai Terbuka Malaysia dan Kejohanan Kebangsaan.
"Ini kejayaan terbaik saya sebagai pemain boling kebangsaan. Saya sangat gembira dapat bertanding dalam Cabaran Gen Z, terima kasih kepada penganjur kerana sekurang-kurangnya mereka yang sudah melepasi had umur masih boleh menjadi sebahagian daripada kejohanan ini," ujar pemain berusia 25 tahun itu.