TAIPING - UMNO tidak perlu bimbing jika pemimpin mereka 'dicuri' parti lain kerana terdapat ramai yang mampu menjadi pengganti.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, parti itu sudah berdepan pengkhianatan pemimpin yang menyertai parti lain ketika Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.
Namun katanya, UMNO tetap teguh malah ramai pemimpin yang mahu kembali ke dalam parti itu.
"Orang nak curi ahli parti kita bukan baru. Masa itu hari pun dah curi dah. Masa kita kalah PRU lepas, yang lompat masuk Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun ramai. Jadi bagi saya kita dah melalui zaman itu.
"Setakat nak curi, curilah tapi saya yakin ada orang yang akan datang kepada parti UMNO. Dia nak ambil satu ada beribu nak ganti untuk di tempat tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Khas Pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang di Pejabat UMNO Bahagian Bukit Gantang di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus bahawa Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mohammad Sollehin berkata, sebarang usaha untuk menarik pemimpin UMNO menyertai parti lain perlu mendapatkan kebenaran Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, mana-mana ahli apatah lagi pemimpin parti tidak boleh sewenang-wenangnya keluar dan masuk semula kerana UMNO mempunyai proses ditetapkan di dalam perlembagaan parti.
"Saya yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden PKR pun kena mengakui penglibatan Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri, sudah tentulah nak ambil anak orang ini kena tanya boleh ke tak boleh.
"Tengku Zafrul ini pun MT (Majlis Tertinggi) UMNO, Ketua UMNO Bahagian macam saya dan beliau pun tahun implikasi yang berlaku atas tindakan beliau," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang.
Terdahulu, Anwar mengakui wujud perbincangan awal berhubung dakwaan gerakan Tengku Zafrul untuk menyertai PKR.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mengesahkan tiada sebarang permohonan daripada Tengku Zafrul untuk meninggalkan parti itu.