PAPAR - Usaha membantu meringankan beban rakyat yang akan menyambut perayaan diteruskan melalui jualan barangan keperluan harian lebih murah dalam Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas yang diadakan di Gereja Saint (St) Augustine, Kinarut.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, PJRM itu adalah bagi membantu keluarga terutama mereka yang bakal menyambut Hari Natal pada hujung bulan ini.
"PJRM ini diadakan untuk membantu masyarakat sekitar mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.
"Terutamanya bagi mereka yang sedang membuat persiapan untuk menyambut perayaan Hari Natal tidak lama lagi," katanya selepas menghadiri program itu pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, istimewanya juga program kali ini apabila Petronas melalui Yayasan Petronas sudi memberikan sumbangan kepada 200 keluarga di bawah parlimennya.
"Sumbangan berupa barangan keperluan harian ini sedikit sebanyak membantu penerima membuat persiapan menjelang perayaan Natal nanti.
"Sumbangan hari ini juga merupakan sebahagian daripada keseluruhan 11,850 keluarga dari seluruh Malaysia yang telah disantuni oleh Petronas melalui Program Memacu Kehidupan 2024 ketika sambutan perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai, Kaamatan, Deepavali, dan kini perayaan Krismas," katanya.
Beliau turut berkata, sebagai makluman, Yayasan Petronas merupakan cabang impak sosial Petronas yang mempunyai tiga fokus utama iaitu pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti dan alam sekitar.
"Pelbagai program dilaksanakan oleh Yayasan Petronas ini sebagai usaha membantu memberikan kesejahteraan, kelestarian dan pembangunan kepada masyarakat.
"Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Petronas atas sumbangan yang diberikan sekali gus menyokong dalam menjayakan inisiatif Ihsan Rahmah Madani," katanya.