SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua calon yang bertanding dan ahli yang layak mengundi pada pemilihan parti itu supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya, ia bagi menjamin proses pemilihan parti itu berjalan secara adil, teratur dan tertib.
Iklan
Iklan
"Pemilihan Bersatu di peringkat cawangan akan berlangsung dari 15 Februari hingga 29 Mac ini, manakala pemilihan di peringkat Bahagian bagi memilih ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi akan berlangsung secara serentak di seluruh negara pada 18 April nanti.
"Berikan kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti yang dilantik untuk mengurus perjalanan pemilihan parti. Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan pemilihan parti kita berlangsung dalam suasana yang muhibah dan demokratik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemilihan parti menjadi medan bagi setiap ahli melaksanakan tanggungjawab memilih pemimpin yang layak untuk mengemudi di setiap peringkat.
"Laksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin demi kepentingan parti. Mudah-mudahan dengan pemilihan parti yang akan berlangsung nanti, ahli-ahli Bersatu akan berpeluang memilih pemimpin yang berkaliber, berintegriti dan beramanah untuk memacu parti ke mercu kejayaan.
"Saya berdoa semoga pemilihan yang diadakan buat julung kalinya ini akan memantapkan lagi barisan kepimpinan Bersatu di semua peringkat di seluruh negara," katanya.