POKOK SENA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengesahkan pengumuman kos bagi mengerjakan haji sama ada ia meningkat ataupun kekal bagi tahun hadapan akan dibuat pada esok (Isnin).
Beliau berkata, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman akan membuat pengumuman terbabit pada masa ditetapkan.
Beliau menambah, mereka yang berkelayakan juga akan menerima surat tawaran selepas pengumuman tersebut.
"Insya-ALLAH, esok Isnin pagi CEO Tabung Haji akan mengumumkan kos haji bagi tahun 2025.
"Selepas, jam 12 tengah hari esok, Insya-ALLAH, surat tawaran haji akan dikeluarkan," katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Program Misi Bantuan Banjir Ihsan Madani di Kedah di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, di sini, pada Ahad.
Sebelum ini, Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan pengumuman kos bagi mengerjakan haji bagi tahun hadapan akan dibuat pada Isnin melalui Majlis Pengumuman Kos Haji, Bayaran Haji dan Bantuan Kewangan Haji 1446H di Menara Tabung Haji Tun Razak, Kuala Lumpur pada jam 9.30 pagi.
Dalam perkembangan, beliau memaklumkan, Skuad Musa'adah Al-Falah Madani di bawah agensi-agensi agama di bawahnya, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan pelajar Universiti Selangor (UNISEL) turun padang pada Misi Bantuan Banjir Ihsan Madani di Kedah demi meringankan beban ditanggung mangsa-mangsa banjir di negeri ini.
Dr Mohd Na’im berkata, misi ini diselaraskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama pelbagai agensi agama dan organisasi Islam melakukan pelbagai aktiviti seperti pembersihan kawasan banjir, kenduri rakyat serta penyaluran bantuan Musa'adah kepada mangsa banjir dan juga institusi agama di empat lokasi berlainan.
Katanya lagi, Skuad Musaadah Al-Falah Madani kali ini memberi fokus bantuan di Jeniang (Gurun), Sungai Jagung (Pendang), Derang (Pokok Sena) dan Titi Besi (Alor Setar).
Beliau menambah, bantuan disalurkan sepanjang misi ini adalah bantuan tunai berjumlah RM572,000 dan barangan berjumlah RM257,232 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM829,232.
"Sumbangan tunai diberikan kepada institusi agama Islam dan pendidikan di lokasi terlibat dalam misi ini melibatkan dua masjid berjumlah RM40,000, 13 pondok berjumlah RM80,000, sebuah Sekolah Agama Rakyat berjumlah RM200,000 dan sebuah maahad tahfiz berjumlah RM50,000," katanya.
Beliau memaklumkan, bantuan tunai turut diberikan kepada penduduk setempat terjejas sebanyak RM202,000.
Katanya lagi, Misi al Falah Madani kali ini turut membawa bantuan barangan yang disalurkan kepada penduduk setempat seperti bakul makanan, toto, selimut dan kit ibadah.
"Saya berharap usaha ini akan memberikan sinar harapan kepada mangsa banjir, sekali gus menyemarakkan ukhuwah Islamiah dalam menghadapi musibah," katanya.