KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Kelantan membantu menguruskan pengebumian jenazah lelaki seberat 420 kilogram (kg) yang meninggal dunia di rumahnya di Pasir Hor di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kelantan, Mohd Wildan Azhari berkata, pihaknya menyediakan pengangkutan iaitu lori lima tan dan troli yang diubah suai bagi menguruskan serta membawa jenazah, Allahyarham Sheikh Mohd Ali Omar, 44.
"Saya sudah berjumpa dan berbincang dengan pihak keluarga bahawa bomba sedia bantu menguruskan jenazah ini.
"Bagi urusan memandikan jenazah, keluarga memaklumkan mereka sedang menunggu satu NGO (badan bukan kerajaan) dari Setiu, Terengganu yang akan datang untuk melakukannya,” kata beliau ketika ditemui di rumah arwah di Kampung Pasir Hor di sini pada Ahad.
Menurut beliau, seramai 15 kekuatan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh serta Tunjong selain Pasukan Gerak Cepat akan terlibat dalam urusan pengebumian itu.
"Kami akan tambah kekuatan jika tidak mencukupi dan menunggu pemberitahuan daripada keluarga bila-bila masa jenazah siap dimandi serta disolatkan untuk dikebumikan selepas itu,” katanya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan, pihak keluarga merayu bantuan untuk menguruskan jenazah Sheikh Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12 tengah hari.
Kakak arwah, Hanoraziah Hassan, 60, berkata, adiknya sempat diselamatkan oleh bomba selepas terperangkap di tandas namun tidak lama selepas itu dia lemah dan lelah sebelum meninggal dunia.
Sheikh Mohd Ali juga menghidap penyakit gout.
"Urusan surat kematian sudah selesai dengan pengesahan polis, kini sedang menguruskan pengebumian dengan bantuan bomba, NGO serta penduduk kampung,” katanya.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Jaya yang berjarak kira-kira satu kilometer dari rumah arwah.