SHAH ALAM - Ketua Cabang Titiwangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zahir Hassan tidak menolak kemungkinan akan bertanding di Cabang Wangsa Maju pada pemilihan parti itu yang akan diadakan tahun hadapan.
Ahli Parlimen Wangsa Maju itu berkata, langkah berpindah cabang itu bagi memastikan partinya terus dapat diperkukuhkan dan beliau dapat berkhidmat dengan lebih baik terhadap rakyat di Wangsa Maju.
"Formula saya secara peribadi memikirkan bagaimana nak kukuhkan parti sama ada terus tinggal atau bertanding di cabang Titiwangsa atau pindah di Wangsa Maju.
"(Sebelum ini) parti memilih bertanding di Wangsa Maju. Sudah dua tahun lebih di Wangsa Maju, saya fikir sesuai nak pastikan khidmat rakyat dilakukan lebih berlipat kali ganda," katanya kepada media pada Kongres Nasional Khas di Dewan Raja Muda Musa di sini.
Menurut Zahir, beliau berkata jika bertanding di cabang Parlimen itu juga menjadikan khidmatnya lebih baik secara langsung ia memberi impak lebih baik kepada anggota parti dan warga Wangsa Maju.
Dalam pada itu, Zahir berkata, langkah Kongres Nasional Khas pada Ahad yang meminda perlembagaan parti juga disokong memperkukuhkan lagi parti.
Beliau berkata, PKR sudah lebih 25 tahun telah melalui pelbagai pengalaman.
"Makna nak ubah dan kita nak kukuhkan lagi. Kita nak pastikan representasi 30,000 anggota akan terlibat secara pemilihan parti utama.
"Kongres tempat reformasi kita lakukan. Kena lakukan sesuai perubahan berlaku sekeliling," katanya.